Allhamdulilah Allah memberikan kesempatan untuk kita bertemu sekali lagi bulan Rejab setelah setahun berlalu. Sempena Hari Pekerja 1Mei 2014 bersamaan 1Rejab jatuh hari Khamis dan cuti umum mesti ramai antara kita tidak melepaskan peluang untuk berpuasa sempena bulan rejab
Banyak kita dengari dari dahulu kelebihan dan amalan puasa di bulan Rejab melalui hadis-hadis. Saya terpanggil untuk menulis perkara ini kerana ada sahabat yang telah meminta penjelasan berkaitan puasa dan amalan-amalan sunat di bulan rejab dan pertanyaan kesahihan hadis yang berkaitan.
Saya juga ingin mengetahui lebih mendalam tentang isu ini.Di sini saya kongsikan serba sedikit ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita semua
Soalan:
Banyak kami dengari dari khatib Jumaat – terutama pada awal bulan Rejab – hadith-hadith yang mereka riwayatkan tentang pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah bagi orang yang hanya berpuasa sehari di dalam bulan Rejab. Antara hadith ini ialah: “Rejab bulan Allah, manakala Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku.” Apakah pandangan tuan dengan hadith-hadith sebegini? Apakah hadith-hadith ini sahih? Apakah pula hukum sesiapa yang meriwayatkan hadith palsu yang dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. kepada orang ramai?
Jawapan:Tidak ada satu hadith yang sahih tentang kelebihan bulan Rejab sesuatupun, melainkan bulan Rejab itu adalah termasuk di dalam bulan yang haram (yang dimuliakan) yang disebut oleh Allah S.W.T. di dalam kitabnya: “Antaranya ada 4 bulan yang haram (dimuliakan).”(al-Taubah:36) iaitulah bulan Rejab, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan al-Muharram, dan inilah bulan-bulan yang dimuliakan.Tidak terdapat satu hadith yang sahih yang mengkhususkan bulan Rejab dengan sesuatu kelebihan, melainkan hadith Hasan yang menyebut Nabi S.A.W. banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang tindakan Nabi itu, dinyatakan: “Kerana Sya’ban itu bulan yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia yang berada di antara Rejab dan Ramadhan.”Dari hadith ini (sebahagian orang) memahami bulan Rejab juga ada kelebihan. Adapun tentang hadith: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku dan Ramadhan bulan Umatku.”Ianya adalah satu hadith yang dusta dan sangat lemah, bahkan kebanyakan ulama mengatakan hadith ini palsu … iaitu ianya suatu yang didustai (atas nama Nabi S.A.W.), hadith ini tidak ada nilai dari sudut ilmu dan agama. Demikianlah juga hadith-hadith lain yang diriwayatkan tentang kelebihan bulan Rejab kononnya sesiapa solat sedemikian, maka baginya sedemikian pahala, sesiapa yang beristighfar sedemikian, baginya sedemikian pahala … semua ini berlebih-lebihan, dan semuanya adalah dusta. Antara tanda kedustaan hadith-hadith seumpama ini, apabila ianya mengandungi unsur berlebih-lebihan dan gembar-gembur para ulama berkata:Maksudnya: “Sesungguhnya janji dengan pahala yang sangat besar atas perkara yang kecil, ataupun ancaman dengan azab yang keras atas dosa yang kecil, menunjukkan hadith tersebut adalah palsu. “Sebagai contoh lain apa yang didakwa dari perkataan Nabi S.A.W.: “Satu suapan kepada orang yang lapar lebih baik dari membina 1000 buah masjid. “Hadith ini mengandungi kepalsuan dalam teksnya sendiri, kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dapat diterima oleh akal, satu suapan untuk orang yang lapar, pahalanya lebih besar dari pahala yang diperolehi dari membina 1000 buah masjid. Maka hadith yang ada dalam bab kelebihan bulan Rejab adalah termasuk di dalam jenis seperti ini. Ke atas ulama wajib memberi perhatian dari hadith-hadith seumapama ini yang palsu dan dusta dan memberi peringatan kepada orang ramai dari hadith-hadith seumapama ini. Nabi S.A.W. telah bersabda: (Maskudnya): “Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia lihat hadith tersebut adalah palsu, maka dia termasuk salah seorang dari kalangan pendusta.”(Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di Muwaddiman Sahihnya). Akan tetapi kadang-kadang seseorang tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya itu adalah hadith yang palsu.
Hadis Palsu Popular berkaitan Fadhilat bulan Rejab
1.“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramdahan bulan umatku… “
2.“Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu”.
3.“Kelebihan Rejab atas segala bulan bagaikan kelebihan Al-Quran atas segala zikir; kelebihan Sya’ban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya.”
4.“Sesiapa yg bersembahyang maghrib pada malam pertama di bulan Rejab kemudian bersembahyang 20 rakaat selepasnya, dia membaca disetiap rakaat surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas sekali dengan sepuluh kali salam, nescaya Allah menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan diselamatkan dari azab kubur, dan dia akan melalui sirot seperti kilat tanpa dikenakan hisab dan azab”
5.“Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu – pintuNeraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu – pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan – kejahatannya dengan kebaikan – kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan.”
~Sumber : Fatawa Syeikh Athiyyah Saqr (Jil 3, ms 65, 443, 4762); Lathoiful Maarif, AlHafiz Ibnu Rajab Al Hanbali (Ms 217- 2353); Kasyful Khafa’, Syeikh Ismail Ajluuni4. Tahzirul Muslimin minal Ahadis Al maudhuah, Muhammad bin Al Basyir Al-Azhari5; : Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azm (jil 1/526);
Hukum Puasa Di Bulan Rejab & Syaaban
Soalan : Pada suatu hari, saya mendengar anda berbicara soal bulan Rejab. Anda mengatakan bahawa tidak terdapat suatu pun hadis sahih dari Nabi s.a.w. berkenaannya. Oleh itu, apakah hukum berpuasa dalam bulan Rejab? Adakah ianya termasuk perkara sunat ataupun bidaah?
Dr Yusuf al-Qaradhawi menjawab:
Tidak dijumpai pun kenyataan saya berkenaan puasa rejab dalam perbincangan yang didengari oleh saudara. Walau bagaimana pun, saya mengatakan ketika itu bahawa bulan Rejab merupakan sebahagian dari bulan-bulan haram (suci). Berpuasa di bulan-bulan haram adalah diterima dan sunat (Mustahab). Tetapi, tidak terdapat dari Nabi s.a.w. bahawa baginda berpuasa sebulan penuh. Kecuali Ramadhan. Yang paling banyak puasanya adalah bulan Sya`aban, tetapi beginda tidak berpuasa setiap hari, inilah sunnah nabawiyah dalam perkara itu... baginda berpuasa dan tidak berpuasa pada setiap bulan. Seperti mana terdapat dalam sebuah hadis: Baginda s.a.w. berpuasa sehingga kami berkata baginda berpuasa tanpa ada hari baginda tidak berpuasa, lalu baginda tidak berpuasa sehinggalah kami berkata baginda tidak berpuasa. [Hadis Ibnu Abbas Riwayat Abu Daud: 2079] Oleh itu, perbuatan sebahagian manusia yang berpuasa di bulan Rejab secara keseluruhannya, sepertimana yang saya lihat di beberapa negeri sebelum ini, begitu juga yang saya lihat sebahagian manusia yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadhan dan enam hari dalam bulan Syawwal, dan menamakannya dengan “Hari-Hari Putih”, setelah itu barulah mereka tidak berpuasa. Mereka jadikan hari raya pada hari ke lapan dalam bulan Syawwal... menjadikan puasa pada tiga bulan dicampur dengan enam hari secara bersambungan,
Pendapat ulama tentang bulan Rejab
REJAB adalah satu bulan Islam yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW. Kalimah Rejab dalam bahasa Arab bermakna mulia, dan terhormat. Tambahan pula masyarakat jahiliah sangat menghormati bulan ini.Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma'arif menyebutkan nukilan sebahagian ulama ada 14 nama untuk bulan ketujuh ini dan sebahagian lagi menyebut hingga 17 nama.Al-Hafiz Ibnu Hajar menukil penjelasan Ibnu Dihyah bahawa bentuk kata jamak daripada Rejab adalah arjaab, rajabaanat, arjabah, araajib dan rajaabil, lalu bulan ini beliau menyatakan memiliki 18 nama (lihatMuqaddimah Tabyiin ar-'Ajab).Rejab termasuk salah satu antara bulan yang memiliki kemuliaan selain Ramadan kerana ia dikira empat bulan yang haram.Kemuliaan dan kehormatannya diisyaratkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu sebagaimana merekapun memerangi kamu, dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa. (at-Taubah : 36).Para ulama berbeza pendapat mengapa keempat bulan tersebut dinamakan dengan bulan haram.Ada dua pendapat yang terkenal mengenai iaitu pertama, dinamakan bulan haram kerana besarnya kemuliaan dan kehormatan bulan-bulan tersebut dan besarnya pula akibat dari dosa yang dilakukan pada bulan-bulan berkenaan.Qatadah bin Diamah, seorang mufassirin (ahli tafsir) daripada kalangan tabiin ketika menjelaskan makna firman Allah dalam surah at-Taubah di atas: ...maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu..., berkata: "Amalan soleh di bulan-bulan haram lebih besar pahalanya sebagaimana perbuatan menganiaya lebih besar dosanya di bulan-bulan haram walaupun secara umum di bulan mana sahaja perbuatan menganiaya adalah dosa besar". (lihat Tafsir al-Baghawi).Faktor kedua dinamakan bulan-bulan haram kerana peperangan diharamkan pada bulan-bulan tersebut dan hal ini sudah dikenali sejak zaman jahiliah bahkan konon sejak zaman Nabi Ibrahim.Allah telah menegaskan haramnya berperang di bulan-bulan haram sebagaimana firman yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dan sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah, dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh".(al-Baqarah: 217).Amalan dan bulan RejabPara ulama menjelaskan bahawa keempat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Rejab, Syaaban) memiliki keistimewaan dan keutamaan berbanding bulan-bulan lain kecuali bulan Ramadan.Berikut beberapa contoh amalan yang banyak dikerjakan oleh sebahagian kaum Muslimin di bulan Rejab beserta penjelasan singkat mengenai hukumnya.l Umrah di bulan Rejab: Dalil yang digunakan untuk mengerjakan umrah adalah athar dari Ibnu Umar r.a, "Bahawa Nabi SAW pernah melaksanakan umrah sebanyak empat kali. Salah satunya pada bulan Rejab". (Riwayat Tirmizi).l Puasa sunat : Tidak ada hadis sahih marfuk yang mengkhususkan puasa sunat di bulan Rejab, kerana sebahagian ulama Salaf di antaranya Ibnu Umar, Hasan Basri dan Abu Ishak as-Sabi'i memperbanyak puasa di keseluruhan bulan haram tanpa mengkhususkan di bulan Rejab.Beberapa sahabat Rasulullah di antaranya Aisyah, Umar al-Khattab, Abu Bakrah, Ibnu Abbas dan Ibnu Umar telah mengingkari orang yang berpuasa penuh di bulan Rejab atau mengkhususkan berpuasa di bulan Rejab.Ibnu Solah berkata: "Tidak ada hadis sahih yang melarang atau menganjurkan secara khusus berpuasa di bulan Rejab, maka hukumnya sama di bulan lainnya iaitu anjuran berpuasa secara umum".Imam Nawawi berkata: "Tidak ada larangan demikian pula anjuran secara khusus berpuasa di bulan Rejab tetapi secara umum hukum asal berpuasa adalah dianjurkan".Sheikh Usaimin berkata: "Tidak ada keutamaan khusus yang dimiliki oleh bulan Rejab dibandingkan dengan bulan-bulan haram lainnya, tidak dikhususkan umrah, berpuasa, solat, membaca al-Quran bahkan sama sahaja dengan bulan haram lainnya."Semua hadis yang menyebutkan keutamaan solat atau berpuasa padanya maka darjatnya lemah yang tidak boleh dibangun di atasnya hukum syarie".Sheikh Islam Ibnu Taimiyah berkata tentang hadis-hadis keutamaan berpuasa dan solat khusus di bulan Rejab: "Semuanya dusta menurut kesepakatan para ulama".l Solat Raghaib: Solat ini jumlah rakaatnya 12 dengan enam kali salam. Biasanya dikerjakan selepas Maghrib di hari Jumaat pertama bulan Rejab.Bacaan dalam setiap rakaat selepas surah al-Fatihah adalah surah al-Qadar (tiga kali) dan surah al-Ikhlas (12 kali).Setelah solat biasanya mereka berselawat sebanyak 70 kali dan berdoa. Solat seperti ini tidak diragukan lagi termasuk solat yang bidaah kerana hadis yang menyebutnya termasuk hadis palsu sebagaimana diterangkan oleh Imam Ibnu Jauzi dalam Al-Maudhu'aat.Imam Nawawi berkata: "Segolongan para imam telah menyusun tulisan yang berharga dalam menjelaskan keburukan dan kesesatan orang mengerjakan dan melakukan bidaah. Dalil-dalil tentang keburukan, kebatilan dan kesesatan pelakunya memang banyak hingga tidak terhitung. (Syarah Sahih Muslim).l 27 Rejab (Israk dan Mikraj): Begitu juga tidak ada hadis yang sahih menentukan bila sebenarnya terjadi malam Israk dan Mikraj di bulan Rejab atau selainnya.Setiap yang menentukan waktu terjadinya malam tersebut adalah hadis lemah menurut para ulama hadis.Dilupakannya manusia akan waktu terjadinya merupakan hikmah besar yang dikehendaki oleh Allah SWT.Bahkan sekiranya ada dalil sahih yang menentukan bila terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj, maka tidak digalakkan kaum Muslimin mengkhususkannya dengan kegiatan ibadah-ibadah tertentu dan tidak digalakkan pula merayakannya.Sebabnya, Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak mengkhususkan malam tersebut dengan sesuatu kegiatan ibadah.Sekiranya perayaan tersebut disyariatkan, tentu Rasulullah telah menerangkannya kepada umatnya dan juga kepada para sahabat Baginda.Huzaifah berkata: "Setiap ibadah yang tidak dilakukan oleh para sahabat Rasulullah, maka jangan kamu beribadah dengannya".Said bin Jabir mengatakan: "Apa yang tidak dikenal oleh Ahli Badar bukanlah bahagian daripada ad-Din (agama)".Nabi SAW juga orang yang paling banyak memberi nasihat kepada manusia dan menyampaikan seluruh risalah serta telah menunaikan amanah. Seandainya memuliakan dan merayakan malam tersebut merupakan sebahagian dari ad-Din tentu Nabi SAW telah menyampaikan dan tidak akan menyembunyikannya
Allah SWT telah menyempurnakan bagi umat ini agama mereka serta mencukupkan nikmat-Nya atas mereka, dan Allah mengingkari siapa sahaja yang membuat syariat yang tidak diizinkan-Nya.Ia sebagaimana firman yang bermaksud: Pada hari ini (Arafah) telah Ku sempurnakan agama kamu, dan telah Ku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Ku reda Islam itu jadi agama bagi kamu. (al-Maidah: 3)Tidak ada dalil sahih yang menganjurkan amalan khusus di bulan Rejab atau berpuasa khusus di bulannya.Oleh itu, bagi yang ingin meraih kemuliaan bulan ini hendaknya berhati-hati daripada melakukan hal-hal yang bercanggah dengan syariat agama.Kita juga perlu mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang baharu dalam peribadatan yang menjerumuskan dirinya ke dalam bidaah yang menodai kehormatan bulan Rejab dan menjadikannya terjatuh ke dalam dosa besar.
Wallahu'alam